Maulidur Rasul 1431 H


Setiap kali tiba bulan Rabiul Awal, umat Islam akan menyambut hari kelahiran Rasulullah S.A.W. dengan pelbagai majlis dan acara. Hari kelahiran Rasulullah diadakan demi memperingati kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W., yang telah membawa Islam yang menerangi jalan kehidupan manusia di atas muka bumi ini.
“Alif, Laam, Raa’. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkannya kepadamu (Wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap gelita kufur kepada cahaya iman, dengan izin Tuhan mereka, ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.” (Surah Ibrahim: 1)
Bagaimanapun perasaan bersyukur dan berterima kasih atas nikmat agung ini tidak seharusnya terhad dengan sambutan Maulidur Rasul semata-mata. Sesungguhnya sambutan Maulidur Rasul hanyalah sebagai peringatan akan tanggungjawab yang terpikul di atas bahu setiap umat baginda, iaitu untuk meneruskan tugas Rasulullah S.A.W. memberikan petunjuk dan bimbingan kepada umat manusia, memimpin mereka ke arah jalan yang betul dan diredai Allah. Kita sebagai umat Islam bertanggungjawab memimpin umat yang lain, bukan sebaliknya.

No comments:

Post a Comment